Mencari pendapatan tambahan? Klik sini:

Friday 6 November 2009

Makan

"makan" -perkataan yang ringkas dengan dua suku kata, tapi satu perkara yang sangat penting bagi kita manusia. kenapa perlu makan? cuba korang lupakan makan untuk dua hari, dan lepas tu mesti korang akan dapat jawapan untuk soalan tu..

hari-hari kita makan macam-macam benda. dari makanan yang dimakan dek lembu sampaila makanan yang dimakan oleh rimau dan kawan-kawan karnivornya yang lain. kiranya, manusia ni memang jenis special sikit bab makan, semua bendapun kita boleh bedal. bukan macam kambing, hari-hari dok makan daun,daun, daun dan daun selamanya sampainya mereka pupus.

jadi, dengan keistimewaan yang ada pada golongan manusia dari segi tu, kita boleh menikmati hampir semua nikmat Tuhan dengan cara makan. tapi, ada jugak yang melampau-lampau dalam bab makan ni, melampau dari segi lebih ataupun melampau dari segi kurangnya.

ada golongan yang kerjanya asyik makan je 24jam, bagi orang macam ni, makan is good, dan makan is everything. bukan la aku nak marah, tapi bila badan dah macam belon, datang plak penyakit macam-macam reti plak bising.. kan pelik tu?kan?

bagi yang melampau dari segi kekurangan tu plak, bukan aku nak cerita pasal yang kebuluran kat afrika nun, tapi yang jenis "vegetarian" atau "fruitarian" (hah?) dan macam2 lagi jenis diet gila orang putih tu.. elok2 dicipta jadi manusia, menggatal plak nak jadi kambing dan makan daun2 je.. teringat aku dialog kasim selamat "mengapakah kau diciptakan Allah menjadi manusia, bukankah lebih baik kau dicipta menjadi haiwan" hahah!

walaupun makan benda yang simple, "suap dan telan" tapi benda simple ni sangat penting, jadi makanla dengan sihat. dan makanla seperti manusia, bukan pa, kadang2 aku tengok yg jenis vegetarian tu, badannya dah kurus macam penyapu, tapi masih mengaku gemuk lg.. apa da.. lain la aku yg memang kurus ni.. tapi aku ni makan semua benda, tak tau bila nak gemuk..haha!

Wednesday 28 October 2009

TERIMA KASIH


Tiap kali aku turun dari bas unimas, akan terdengarlah dek telinga aku yang sensitif ni beberapa suara mengucapkan "terima kasih" kepada driver bas. ada juga yang terus melulu turun tanpa perasanpun tentang kewujudan driver yang ada kat tempat duduk depan tu. kadang-kadang akupun macam tu, ikut mood aku je, kalau nak ucap, aku ucapkan terima kasih tu, kalau tak, buat dek je la..
mungkin bagi sesetengah orang ucapan terima kasih tu tak la penting sangat, lebih-lebih lagi dalam situasi yang aku katakan tadi, ye la, kan tu dah memang tugas pakcik driver tu, kan? kita ucap terima kasih ke tak, takdenya dia sakit hati.. ye ke macam tu? tapi macam tu jugakla yang aku fikir bila time aku tak ucap terima kasih. dan kenapa pula kita perlu ucap? sebab ossan (pak cik) tu dah letih bawa bas untuk kita. jadi, penting ke tak ucap terima kasih tu?
benda ni mengingatkan aku tentang satu cerita beberapa tahun dulu, masa tu aku kat hospital Tampin, buat medical check up untuk masuk IPT ni (unimas). habis je aku urusan dengan doctor yang dok sibuk check aku tu, aku ucap "terima kasih, doktor" sebelum keluar dari bilik dia. dia tengok aku, sambil senyum dia kata "dalam ramai-ramai yang datang, ni la kali pertama hari ni ada orang yang ucap terima kasih pada saya". aku buat dek je dan keluar.
daripada cerita tu, kita dapat tengok kadang-kadang kita perlu ucapkan terima kasih. sebab dengan ucapan yang simple tu mungkin kita dapat menceriakan orang-orang yang telah bekerja untuk membantu kita macam pakcik posmen, driver bas, jururawat dan yang lain-lainnya. kita orang Malaysia memang dah biasa benda macam tu dari dulu lagi, cuma kemajuan dan kesibukan yang kita dok jamah hari-hari membuatkan kita lupa dengan ajaran orang-orang dulu. ye la, aku tengok, orang sekarang lebih malu nak buat benda baik tapi akan lebih bangga dan menunjuk-nunjuk bila buat benda-benda tak senonoh..

Friday 6 March 2009

Tok Wan


Hidup. kadangkala membebankan. sebagai manusia biasa kita tidak ada kuasa menentukan nasib masa depan. susah, senang, rezeki, jodoh dan segalanya yang terlalu rapat dengan kita sebenarnya terlalu jauh daripada pengetahuan kita. itu semua kerja Tuhan. hanya Dia yang tahu segalanya, dan Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Norman, dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di selatan tanah air. ketika Malaysia berada di awal pentadbiran Dr. Mahathir, dia dilahirkan. menjadi anak bongsu di dalam keluarganya yang sederhana. Kelahirannya disambut gembira. kakak-kakaknya sangat seronok pabila menerima adik lelaki pertama mereka. norman dibesarkan dengan baik oleh kedua orang tuanya. namun, segalanya mula berubah ketika usianya baru mula menjangkau satu tahun. ketika itu, kesihatan bapanya semakin merosot akibat kegagalan jantung. Pada ketika Norman masih baru pandai berjalan dan berbicara, bapanya telah pergi menyahut seruan Illahi. bapanya pergi selamanya tanpa sempat bagi Norman bermanja dan merasai kasih sayang seorang ayah.
keluarga Norman lantas berubah. kehilangan seoarang ketua keluarga benar-benar meninggalkan kesan yang amat berat bagi mereka. bahtera yang sekian lama berombang-ambing menempuh badai, akhirnya pincang kehilangan nakhoda yang menjadi tempat bergantung harap. Norman masih belum mengerti segala masalah tersebut. giginyapun masih belum cukup kuat untuk memamah sebatang tebu, apatah lagi fikirannya; yang masih merangkak-rangkak mengenal perkara asas dunia.

anak kecil yang baru setahun jagung itu, terus dibesarkan tanpa kehadiran seorang bapa. ibunya telah berusaha berhempas-pulas membesar dan mendidik Norman walaupun keadaan keluarga pada waktu itu sangat memeritkan. kesempitan daripada semua segi akhirnya membuatkan si ibu mengambil keputusan untuk menyerahkan satu-satunya anak lelakinya itu di bawah jagaan Tok Wan, ibu kepada emak Norman iaitu neneknya.

bermula ketika itu, Norman dijaga oleh Tok Wan. menyebabkan hubungannya dengan Tok Wan lebih rapat berbanding dengan ibu serta kakak-kakaknya sendiri. semakin besar anak itu, semakin gembira Tok Wan melayan kerenahnya. Norman sangat bahagia tinggal bersama tok wan, dengan suasana kampung yang sangat sesuai untuk tumbesarannya. dia merupakan anak yang suci dan masih belum tercoret sedikitpun noda hitam di dalam hatinya.

namun, kesenangan Tok wan tidak berlanjutan. apabila Norman mula bersekolah, dia mempunyai ramai kawan. fikiran anak kecil yang masih belum matang itu begitu mudah menerima segala pengaruh yang datang daripada kawan-kawan seusia dengannya. Norman mula berubah. jiwanya bukan memberontak, cuma tidak dapat mebezakan baik dan buruk hingga membuatkan dia keliru dan menganggap segala yang dilakukan atau diperkatakan oleh orang lain adalah benar belaka. hatinya sangat polos.

semakin norman meningkat remaja, dia semakin berubah. Noda hitam di dalam hatinya telah menutupi segala kesucian didikan Tok Wan. dia mula belajar merokok, ponteng sekolah, dan mengikuti rakan-rakan sekampung pergi ke temapt-tempat yang terlarang. namun, Tok wan masih lagi melihat Norman yang ada di depannya pada waktu sebagai "anak kecil yang polos" sebagaimana dia menerima anak itu belasan tahun yang lalu. sungguhpun ramai orang kampung telah menyatakan kepada Tok Wan mengenai perihal tingkah Norman sebetulnya, namun dia hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan; sedikitpun tidak diendahkannya.

"Buat apa aku nak percaya kata orang." tegas hati orang tua yang telah lama kematian suami itu. baginya Norman masih seorang anak yang mulia dan baik.

Pada suatu hari, telah tertulis di dalam buku takdirnya, Tok wan dengan izin Allah telah menemui sekotak rokok di bawah katil Norman ketika nenek tua itu mengemas biliknya. norman yang pada ketika itu sedang sibuk di bawah rumah mencuci motorsikalnya dipanggil tiba-tiba dengan keras oleh Tok wan.

"Ye, Wan..?Ada apa?" jawab Norman dengan nada agak terkejut mendengar suara teriakan Tok Wan.

belum sempatpun Norman melangkah masuk ke dalam rumah, tak semena-mena dahinya berdengung kesakitan dilempar kotak rokok oleh Tok Wan yang kelihatannya sangat marah. Norman tidak berkata apa-apa, dia terkaku di situ. Mungkin sedih. mungkin juga marah. hatinya berbaur dengan perasaan yang tidak dapat diluahkan.

Tok wan menangis. "Siapa punya tu? Kamu tau tak yang kamu tu baru je tingkatan tiga?!kenapa merokok?..."kata-kata Tok Wan terhenti. sebak di dadanya sangat perit, bertambah berat lagi apabila dia teringatkan segala aduan dan rungutan orang kampung mengenai Norman sebelum itu. dia mula mempercayai segala kata-kata yang dianggap omong kosong tersebut. hatinya mula berkecamuk kerana tanpa disedari tindakannya yang terlalu memanjakan anak itu telah merosakkan hatinya.

"Ni bukan Norman punya, Tok Wan. Han punya, dia pesan tadi tapi Norman lupa nak bagi.'' jawab Norman seketika kemudian, cuba meraih kembali kepercayaan orang tua itu.

Tok wan berhenti menagis. "Betul ke ni,Man? maafkan wan, cu... wan terlalu ikutkan perasaan.." hatinya kembali mempercayai cucunya itu.

melalui amukan puting beliung yang pertama Tok wan itu, Norman pada awalnya ada sedikit berubah. hatinya tersentuh dengan kedaifan tok wan yang sangat disayanginya itu. namun, itu semua hanya seketika; dia kembali semual dengan perangai lama atas desakan rakan-rakan. orang muda, begitu mudah berubah-ubah hatinya. untuk kali itu, Norman lebih berhati-hati dan menyembunyikan segala bukti daripada Tok wan.

Dia semakin ligat ponteng sekolah dan sering dibawa ke bilik Guru besar untuk kesalahan yang dilakukannya. dia dan seangkatannya semakin berani melanggar undang-undang sekolah dan mula berjinak-jinak dengan "bermain" dengan polis. Norman terlibat dengan lumba haram yang sering sahaja menjadi buruan pihak polis. namun, nasib masih menyebelahinya.

suatu petang, ketika Norman bersandiwara dan berpura-pura baru pulang dari sekolah yang tidak langsung dijejakinya, dilihat dari jauh kelibat Tok wan sedang menantinya di muka pintu. Norman hanya senyum melihat Tok wan. dia terus manaiki tangga rumah kayu itu untuk bersalam dengan Tok wan. namun, sebiji pelempang panas berapi daripada Tok wannya menjadi piala pusingan untuknya petang itu. Norman berpusing-pusing dan terpelanting bersandar di batang pokok manggis yang terletak berdekatan parit di tepi rumah kesan daripada impak maksima lempangan Tok wan itu.

Norman terkaku. tanpa berkata sepatahpun, Tok wan melempar beg pakaian Norman kepadanya. "Mulai hari ni, kau jangan jejak lagi rumah ni! Cucu tak kenal dek untung!" marah Tok wan sambil melontar gulungan surat buang sekolah yang diterimanya tengah hari itu daripada pihak sekolah.

Norman menjadi sangat marah. diapun pergi meninggalkan neneknya dengan motorsikal yang masih panas enjinnya. hati orang muda itu sangat tersentuh. jauh di lubuk hatinya, dia mula berdendam dengan Tok Wan.

Norman kembali semula ke rumahnya yang selang dua kampung dari kampung letaknya rumah Tok wan. dia tinggal semula dengan keluarga asalnya; bersama mak dan kakak-kakak. ibunya sangat kecewa dengan tindakan dan perangai Norman. Norman kemudiaannya disekolahkan ke sekolah baru, terletak di bandar. Mujurlah rayuan ibunya diterima untuk Norman kembali bersekolah.

sejak hari dia pergi dari rumah Tok wan, Norman tidak pernah lagi melawat neneknya itu. dia sanagt berdendam hinggakan pada hari raya puasapun dia berkeras tidak mahu menjenguk Tok wan. dendamnya masih panas, berlanjutan hingga tiga tahun.

pada awal tahun keempat Norman berpisah dengan Tok wannya, Norman baru sahaja tamat tingkatan enam. dia mengambil keputusan untuk melupakan segala dendamnya dengan Tok Wan dan mahu meminta maaf atas segala perbuatannya dulu. Fikirannya sudah cukup matang untuk membezakan baik dan buruk pada usia itu. namun, belum sempat Norman pergi menjenguk To Wan, pada pagi pertama hari bebasnya dari alam persekolahan, satu panggilan telefon diterima maknya daripada jiran Tok wan; menyatakan bahawa Tok wan telah pergi selamanya.

Norman tergamam mendengar berita itu. dia tidak sempat menyatakan kesalahannya dan meminta maaf dengan Tok wan. segala-galanya telah terlambat. di saat dia mula sedar tentang kesalahannnya, di saat dia mula terbuka hati untuk memaafkan kesalahan orang tua yang telah bersusah payah membesarkannya, di saat dia mengerti segala-galanya yang dilakukan oleh Tok wan adalah demi kebaikan dirinya, disaat itu jugalah dia tidak mampu berbuat apa-apa. N0rman sangat menyesali kesombongannya.

''I really miss Tok Wan," kata kawanku itu dihujung ceritanya kepadaku.

-Sebuah kisah benar rakanku-

Tuesday 3 March 2009

She Gone Forever (Dia pergi selamanya)


Pagi itu, masih teringat lagi dalam ingatanku, dalam kesejukan angin pagi yang bertiup, mama mengejutkanku bangun daripada lenaku. Pagi Isnin itu bukanlah Isnin yang biasa aku lewati sepanjang sebulan yang lalu kerana aku harus pergi ke sekolah untuk sesi yang baru. Aku akan masuk ke tingkatan lima, tahun terakhir aku di sekolah menengah dan bakal berhadapan dengan SPM.
Hari berjalan macam biasa, tak ada yang menarik sepanjang aku bersekolah selain daripada berjumpa kawan-kawanku yang membuatkanku happy, Ateng, Jack, Jibam dan Jomblong. Nama mereka memang pada pandanganku agak jelik dan aneh tapi mereka adalah kawan-kawanku yang sangat baik pekertinya. Pagi itu, segalanya macam biasa saja, cuma seperti rutinnya setiap awal tahun pasti sekolah akan penuh dengan kehadiran ibu bapa serta pelajar-pelajar baru; memang agak sesak, dengan tiba-tiba sahaja sekolah kami yang kecil yang terletak di bahagian Tenom itu meriah seperti ada pesta muda mudi di sana.
Kemudian, keadaan menjadi tenang semula apabila telah selesai semua hal pendaftaran dan aku seperti tahun lalu dimasukkan ke kelas sastera; 5 Sastera nama kelasku, sungguh tidak glamor bagi pandanganku, bukankah bagus kalau nama kelasku diubah menjadi kelas 5 Delima- sungguh catchy sekali!
Sedang aku ketawa-tawa seperti kera kena belacan membincangkan hal nama kelas tersebut dengan rakan-rakan, dengan tiba-tibanya cikgu kelas masuk dengan membawa seorang perempuan yang nampaknya sama usia denganku; mungkin pelajar baru.
"Murid-murid semua, ni pelajar baru, namanya Moulina."
Ateng lantas mengangkat keningnya kepadaku dan berkata dalam bisikan,
"Kalau kao berani, aku cabar kao kacau itu budak baru."
Akupun menerima cabarannya dengan hidung kembang yang menahan nafas jantanku yang mendengus-dengus. Dan sebagai membuktikan kejantananku, dan sebagai bukti yang aku ni dah berkhatan, maka akupun mencabar diriku sendiri melakukan perkara yang dianggap bodoh olehku sendiri sekarang.
Sebelum budak baru tu duduk di kerusinya, yang kebetulan ditempatkan di hadapan mejaku dan Ateng, akupun menarik kerusinya dan budak perempuan itupun terus terjatuh berdebuk di atas lantai. Sepantas kilat bilik kelas 5 Sastera dibanjiri bunyi ketawa riang gembira disebabkan kelakuan beruk yang ditunjukkan oleh pengawas baju biru sepertiku. Namun, kegembiraan yang kami dapat itu hanyalah bermodalkan kesedihan dan kesakitan orang lain; membuatkanku tersentak melihat gadis yang tidak bersalah itu terjelopok ke bawah mejaku.
Cikgu Sumit Labu, guru kelasku ketika itu, terus bangkit dari kerusinya dan dengan muka limau mandarin yang masam lagi kelat, dia datang ke arahku. Kelas terdiam seketika.
"Apa kamu fikir bapak kamu Cikgu besar, kamu ada kuasa buat sesuka hati kamu?" Soalan yang keluar daripada mulut beliau yang cukup membuatkan lututku bergoncangan. Dan atas sebab kekuranghajaran aku tersebut, aku didenda berdiri atas kerusi dengan kedua-dua tanganku bersilang memegang telinga. Aku berdiri dengan penuh maruah di dalam kelas pada hari itu dan menaggung segala dosa kawan-kawanku berseorangan- itulah akibat kegilaan kami untuk hari itu.
Tapi, masih ada sesuatu yang mengganggu fikiranku; Moulina, gadis baru yang telah aku sakiti pagi tadi; pasti itulah pagi persekolahan yang paling malang dalam hidupnya. dan aku yang menjadi punca nasib malangnya itu!! Tak tahu kenapa aku terus memikirkan hal tersebut, biarpun hingga ke malamnya.
Keesokan paginya, aku bangun awal dan tanpa dibangunkan oleh mama. Aku bersiap dan pergi ke sekolah dengan segera. Mama dan bapak agak kehairanan melihat tingkahku pagi itu. Aku dah mengambil keputusan- aku mahu minta maaf daripada Moulina, tidak kira apapun yang akan terjadi. Setibanya di kelas, aku dengan harapan menanti Moulina tiba. Namun, sehingga waktu mata pelajaran yang pertama, dia masih belum tiba.
"Dia dah pindah sekolah ka?", tanyaku dalam hati.
Setelah setengah jam, aku menanti, hingga aku sudah hilang harapan, tiba-tiba Moulina masuk ke kelas. Dia terlewat kerana kereta ayahnya rosak ketika dalam perjalanan ke sekolah. Aku tersenyum melihat dia masih ingin berjumpa denganku, walaupun secara logiknya mungkin akulah manusia yang paling dia tak ingin lihat sejak kejadian semalam. Dia terus duduk ke tempatnya, tanpa sedikitpun melihat ke arahku dan kawan-kawan yang menguasai barisan belakang.
Pada waktu rehat, aku menggunakan alasan kepada rakan-rakan bahawa aku tak sedap perut pada hari itu, dan ingin berehat di dalam kelas sahaja. Tapi, sebetulnya aku mahu berjumpa dengan Moulina dan meminta maaf daripadanya. Dengan membawa satu Teddy bear dan coklat, aku berjalan perlahan-lahan ke arahnya yang sedang makan bekalan yang dibawa dari rumahnya di bawah pokok Payung Indonesia berdekatan kelas.
"Mou...lina... saya mau minta maaf dari kamu.. atas sebab semalam.. saya tidak sengaja..", rayuanku denga suara yang tersekat-sekat dan tergagap-gagap.
Dengan senyumannya yang manis, dia menjawab, "Ok.. saya maafkan kamu. Tapi dengan satu syarat.."
"aaaa..?" responku dengan muka tercangang-cangang sambil mulut ternganga.
"Syaratnya, kamu mesti jadi kawan saya.."katanya.
Aku terharu pabila mendengar syaratnya itu. Dia sangat baik bagiku walaupun aku sangat buruk melayannya.
"Tapi, jangan ingat saya dah maafkan kamu... kamu mesti makan nasi goreng mama saya ni dengan saya dulu, baru saya maafkan kamu.. saya tak larat mau makan sorang-sorang.." sambung gadis manis itu lagi. Kata-katanya meruntuhkan maruahku sebagai lelaki dan kalaulah dia tak ada di hadapanku pada saat itu, aku memang sudah menangis.
Dan, bermula hari itu, kami terus menjadi kawan yang rapat. Moulina juga menjadi ahli perempuan pertama dalam kumpulan budak-budak nakal kami dan berjaya mengubah kami menjadi manusia yang berhati mulia. Saat berada di sekolah pada tahun itu merupakan masa yang tak akan aku lupakan hingga ke hari ini.
Dari hari ke hari, kami semakin rapat, dari pagi hinggalah ke petang kami bersama dan tanpaku sedari aku menyimpan sesuatu yang sangat sukar aku luahkan padanya; cinta.
Entah bila aku mula menyintainya. Dia sangat baik bagiku, dan itulah yang membuatkanku kecil pabila disampingnya. Bagiku, meluahkan perasaan yang gila seperti itu pasti akan mempengaruhi persahabatan kami, dan aku terus meyimpan perasaan itu hinggalah tiba di suatu hari.
Pagi itu, hari Ahad. Hari cuti. Sebelumnya kami sudah berjanji ingin berjumpa di perpustakaan dengan Ateng, Jack, Jibam dan Jomblong serta beberapa kawan perempuan yang lain. Dan aku juga dah mengambil keputusan ingin meluahkan isi hatiku padanya pada waktu petang ketika kami pulang bersama. Namun, ketika aku terkumat-kamit menghafal ayat yang cantik untuk hari penting tersebut, mama memanggil namaku; panggilan daripada Moulina katanya.
"Hello, Lina." jawabku di talian.
"Hai, Fad.Kamu sudah siap mau jumpa petang ni? Saya dalam kereta ni dengan ayah saya.
Kami baru pulang dari kampung. Tak lama lagi sampaila.. Tak sabar mau jumpa Fad." katanya manja padaku. Sebelum kami memutuskan talian, Moulina sempat berkata kepadaku'
''Fad, saya nak kamu tahu walaupun kita tak akan berjumpa lagi satu hari nanti, kita tetap akan kekal sebagai kawan ya".
Aku terdiam sebentar mendengar katanya dan terus ketawa kerana pada waktu itu, bagiku katanya itu cuma sekadar berseloroh.
Petang itu, akupun pergi ke perpustakaan seperti yang dijanjikan. kawan-kawanku yang lain semua telah berada di sana kecuali Moulina. Dia masih belum tiba. Kamipun menunggunya di bahagian bacaan perpustakaan awam itu. Tak tahu mengapa, hatiku agak gelisah pada ketika itu dan tanpaku sedari aku telah berlari ke pondok telefon dan membuat panggilan ke rumahnya.
"Mungkin dia terlupa atau letih ni.." kata hatiku.
Namun, apa yang aku dapat daripada talian, orang gaji mereka mengatakan bahawa Moulina dan orang tuanya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan pulang petang itu.
Aku tersentak. Tanpa sedar pipiku sejuk dibasahai air mata. Air mata sedih yang tak mampu aku luahkan. Saat itu baruku tahu apa maksud kata-katanya sebelum itu. Dia telah pergi selamanya... membawa cintaku yang tidak sempat kuluahkan.

(Cerita Sebenar daripada salah seorang kawan baik aku)

Saturday 14 February 2009

Hi, everybody in the world..!

hai, assalamualaikum dan salam sejahtera semua. dah lama aku tak post dalam blog ni. jadi, dengan satu nafas baru aku nak mulakan semula apa yang telah aku mulakan. aku nak ubah sikit blog ni.. heheh... kalau korang enjoy baca, bagusla. kalau tak suka, aku pedulik hapa, sebab tujuan utama aku menulis blog ni adalah untuk mengisi masa lapang je.. ok? heheh